Saturday, March 19, 2011

hujan panas

pinjam kat cik google..tader kena mengena ngn stori


DI KALA mentari memancar terik di atas kepala, hujan panas mulai rintik jatuh di atas permukaan bumi. Aku masih setia menunggu di warung kopi itu. Sengaja aku menunggu Adika lebih awal dari waktu yang dia sendiri janjikan. Mengenangkan panggilan semalam membuatkan aku mengulum senyum.

Usai menunaikan solat Isyak, telefon bimbitku berbunyi. Melihatkan nama Adika di telefon bimbitku, hatiku bagai dilanda ombak. Segera aku menjawab.

“Tidak semua perkara boleh aku nyatakan dari bibir ke bibir. Tetapi aku harus mengatakan ini, walaupun mungkin waktunya kurang tepat. Aku akan tiba sewaktu azan Zohor dan ku kira pekara ini akan usai sebelum tiba waktu Asar.” Amat pelik tutur kata yang diperdengarkan kepada aku. Kenapa? Kerana kata-kata itulah membuatkan aku sampai ke mari.

Hujan panas masih setia menemaniku. Mataku masih merenung tanah yang mulai basah dek hujan panas yang melanda. Sedang aku menikmati bebutir halus yang menghempap tanah itu, satu bunyi dentuman yang agak kuat mengejutkan aku, lantas terhenti lamunan yang bermain di kotak fikiranku.

Hatiku bagai ditarik-tarik untuk pergi melihat kecelakaan itu, tetapi apabila terlihatkan Adika yang keluar dari celah-celah orang ramai, hatiku yang kepingin untuk pergi melihat, kutahan semula. Perlahan-lahan dia mampir ke arahku sambil merenung lama anak mataku. Aku jadi gugup dan tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

“Lamakah kau menanti diriku, Kaseh..” lembut sekali tutur bicaranya. Aku tersenyum dan menggeleng perlahan.

“Sengaja aku duduk awal di sini supaya aku dapat melihat dengan mataku sendiri, apakah benar janji yang kau ikrarkan malam tadi. ” Mataku menjilat senyuman yang dilemparkan. “Ternyata kau benar.”

“Setiap janjiku bukan palsu, kau sahabat aku, bukan? Tentunya kau tahu setiap sifatku.” Ucap Adika sambil menyelesakan duduknya. “Aku tidak pernah mungkir, setelah aku berjanji yang muluk-muluk.”

“Apa yang telah berlaku dengan kecelakaan yang kau lihat tadi?” kataku ingin tahu. Sengaja aku menukar topik perbualan kami agar debaran di hati dapat aku selindungi. Kepalaku masih terjengah-jengah untuk melihat mangsa yang terbujur kaku.

“Insan malang yang sudah menemui ajal…” wajah Adika murung bagai mengerti nasib si malang. Mungkin kerana itu hujan panas turun tika ini kerana kata ibuku, hujan panas petanda tidak baik.

“Perkara apa yang kau ingin katakan sehingga aku dipanggil ke mari?” soalku.
“Kaseh...” panggilan dari bibir Adika membuatkan aku terjaga dari lamunan yang panjang. Adika menyisir rambut lurus paras bahunya dengan tangan ke belakang. Aku menunggu kata-kata seterusnya.

“Kenapa kau minta aku ke mari?” sekali lagi aku bertanyakannya, sekadar menutup keresahan. Wajahnya ternyata sayu. Seolah-olah terlalu berat masalah yang membebani pundaknya. “Masalah apa yang ingin kau kongsikan denganku?” Adika menggeleng.

“Adakah kau tahu akan erti namamu yang sebenar?” tiba-tiba sahaja soalan itu terlontar dari bibir Adika. Soalan itu juga membuat aku terfikirkan namaku sendiri. Aku merenung tepat anak matanya.

“Kaseh?” Soalku kembali. Dia mengangguk sambil berteleku di atas meja.

“Apalah yang ada pada namaku ini…” Aku tidak pasti adakah kata-kataku ini benar. Tiba-tiba aku dengar tawa kecil dari bibirnya. Kenapa?

“Sesungguhnya kasih itu suci, dan kasih itu tidak terikat jika tiada bibir yang berkata-kata. Kau faham?” Kata Adika sambil tersenyum. Senyuman yang tak mampu untuk aku tafsirkan. Jawapan Adika membuai perasaanku.

“Matamu seperti mahu memberitahuku lebih daripada itu. Nyatakanlah, Adika.” Ujarku tenang. Segeralah kau berterus-terang. Aku melihat hujan panas yang masih setia merintik. Mayat yang terdampar di bahu jalan tadi, sudah dibawa pergi.

“Kau tidak mahu berkata apa-apa padaku?” Soal Adika. Perlahan-lahan aku melepaskan genggamanku. Kerutan di dahiku terentang. Aku betul-betul tidak faham dengan sikap Adika. Mengapa pula dia meminta aku mengatakan sesuatu kepadanya?

“Bagaimana kau minta aku berkata-kata, sedangkan aku tidak tahu apa yang kau ingin katakan, Adika?” Aku sudah melahirkan emosiku.

“Nyatakanlah wahai Kaseh, sesungguhnya waktu tidak mengizinkan aku untuk berlama-lama di sini, walaupun secangkir kopi telah kuhabiskan.” Rayuan Adika membuat aku buntu.

“Kenapa mesti aku, kenapa tidak kau?” tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari bibirku. Mengapa aku perlu lahirkan sifat ego yang bukan milikku. Apa yang kau harapkan dariku Adika? Kata-kata pujangga yang menyatakan rasa cinta?

“Kerana aku telah berjanji.” Lambat-lambat jawapan yang keluar dari bibirnya.

“Janji? Janji apa, Adika?” tidak sabar pula aku ingin tahu.

“Janji yang aku sendiri ciptakan..” jawab Adika perlahan. Matanya menekur melihat jemarinya sendiri.

“Aku tidak mengerti. Perjanjian apa yang kau ciptakan?” aku semakin gelisah. Jiwaku diserbu pelbagai persoalan mengenai sikap dan kata-kata Adika hari ini.

“Kau akan mengerti. Aku kira kau telah menjawab kata-kataku, walaupun ia hanyalah sekadar alasan.” Tutur Adika lembut. “Hujan panas seperti tidak mengizinkan aku untuk berada lama di sini.”

Aku semakin terpinga-pinga. Rasanya tiada apa dalam pertemuan kami ini. Tetapi Adika bagai sudah bersiap sedia mahu meninggalkan aku.

“Kau nak ke mana?” Soalku sambil berdiri.

“Mungkin ke tempat yang belum pernah aku pergi. Tempat di mana kasihku akan diterima. Lagipun, bukankah aku telah berjanji sebelum Asar aku akan pulang. Dan aku ingin menunaikan janjiku itu. Aku minta diri. Pesanku, jaga dirimu baik-baik.” Adika tersenyum lembut.

Adika berlalu pergi dalam rintik hujan panas yang semakin renyai. Dia sempat menoleh di kala aku masih memikirkan kata-kata terakhirnya. Kenapa? Kenapa aku lihat, semakin berbalam dirinya? Seperti cahaya yang semakin hilang. Aku membalas lambaian tangannya.

Serentak dengan itu, telefon bimbitku berbunyi. Nama Aidil tertera di skrin telefon bimbitku. Aku terpaku lama mendengar kata-kata si pemanggil. Aku tergamam. Seluruh tubuhku menggeletar. Aku berlari meninggalkan warung lantas menuju ke rumah Adika.


AIDIL, adik kepada Adika memberi sekeping kertas yang berbekas sisa darah.
“Hanya ini yang aku jumpa dalam dompetnya.” Aku membuka renyukan kertas itu perlahan-lahan dengan mata yang berkaca dan fikiran yang berkecamuk. Setiap kata-kata yang dilemparkan pada aku sebentar tadi rupanya sudah tertulis di dalam kertas ini. Cuma, bahagian akhir tidak diungkapkan sebelum dia meninggalkanku. Malah, senyumannya pula sebagai ganti.

‘Jika sewaktu azan Zohor dan sebelum tiba waktu Asar dia tidak menyatakan rasa kasihnya kepadaku, aku berjanji, aku sanggup dibawa pergi.’

“Dia ingin berjumpa kau?” soalan Aidil antara dengar dan tidak. Air mataku merembes keluar tanpa henti. Aku hanya mengangguk lemah tanda jawapanku kepada Aidil.

Cerita Aidil, mayat Adika dirempuh di simpang empat berhadapan dengan warung yang aku duduki sebentar tadi. Mana mungkin! Jika mayat yang terbujur kaku itu adalah Adika, siapa yang datang bertemu denganku? Aku ralat! Mengapa di kala ini aku memikirkan prinsip diriku yang perigi mencari timba, tidak harus berlaku. Aku menyesal atas apa yang telah berlaku. Sedangkan roman para nabi pernah menyatakan Siti Khadijah sendiri pernah melamar Nabi Muhammad SAW sebagai suaminya.
Air mataku mengalir bagai menggantikan hujan panas yang berlalu pergi dan tika itu azan Asar sayup kedengaran. Adika, tahukah kau, aku sayang padamu?


kredit to: cik penulis yg cantik dy tak mo kasi tau nama, ahaks

ps: aku suka cer ni wlupon time tu ko baru nak start menulis...suka sgt suka ada sebab nih..kihkih

5 comments:

Khairul Onggon said...

Penulisan kreatif.. suka bait2 ayat yg dilemparkan chewahh.. komen pun dah macam sastera hehe.. :)

Anonymous said...

salam....

sangat suka akan gaya penulisan ini..

CintaZulaikha said...

wa khairul: best kan..klu tgk byk cerpen dlm nih, sumer tuk masuk bertanding..sy lah pengelolanya..hikhik..nak masuk??

cik SR: huhu..dy budak baru blajar..sy pun suka..:)

JMR said...

woo..nnt aku nak antro cerpen ke sini gk le..

CintaZulaikha said...

silalah antar en J.M.R..amat dialu-alukan..:)