Sunday, May 22, 2011

Dia bukan Rapunzel.....meh la baca kalau sudi~~

cantek gambo cik guggle


DIA sedar setiap kali dia menangis pasti ada yang tertawa. Acap kali dia mendengar teman sepejabatnya berbisik mengenai dirinya, rambutnya malahan percakapannya. Dia sedar dia hanya sekadar gadis kampung biasa, datang jauh dari pendalaman dan ke bandar semata-mata mahu mengejar cinta dan cita. Namun layakkah dia menemui cintanya, sedangkan dia hanyalah sekadar pasu tidak berbunga.

Setiap hari dia akan merenung dari ruang balkoni flatnya. Menanti seorang putera yang singgah sambil melafazkan cinta. Biarpun hanya dengan sekadar bunga. Dia tidak mengharapkan puteranya sekacak dan segagah Fahrin Ahmad. Dia juga tidak mengharapkan yang puteranya sebijak dan sepintar Syed Muzhaphar. Yang penting puternya bisa menyentuh hatinya, menjaga perasaannya malahan menghargai dirinya.

Dia sedar yang dirinya tidak secantik Erra Fazira, malahan semanis Siti Nurhaliza. Dia Cuma gadis yang berperwatakan biasa, tidak layak untuk disanjung dan dipuji-puji oleh seorang yang bernama lelaki. Kalau dilihat dari raut wajahnya, kulitnya gelap, rambutnya kembang dan berkerinting, tambahan pula dia bercermin mata. Lansung tiada ciri-ciri gadis top 20 pilihan majalah masa kini. Dia sendiri terkadang malu melihat rupanya di cermin. Mensisir rambut saja dia menoleh ke arah lain. Tiada interaksi antara dia dan si cermin. Jadi apa lagi pujian yang mampu diletakkan kepadanya melainkan cela belaka.

Setiap hari juga dia menyoal hatinya. Mengapa dia tidak cantik dan manis seperti sahabat-sahabatnya?. Mengapa dia tidak mempunyai rambut yang cantik, lurus bahkan ikal seperti sepupu-sepupunya?. Dia juga seorang gadis, tidak layakkah dia diberikan keindahan seperti itu?

“Walaupun anak ibu tidak secantik Lela, tapi anak ibu cantik di hati ibu.”

Hanya kata-kata itulah penguat semangatnya untuk terus hidup di muka bumi ini. Dia rela dirinya tidak cantik, dia juga rela dirinya dianggap biasa-biasa saja. Yang pasti, doa ibunya lebih berkah dari segala-galanya.

“Ibu doakan, anak ibu akan perolehi segala impiannya. Kerana anak yang sebaik anak ibu ini layak menerima cinta yang sempurna.”

Namun begitu adakah cinta yang sempurna untuk dirinya. Sudah hampir 6 bulan dia tinggal dan berkerja di kota batu ini. Walaupun Ibu seakan berat untuk melepaskan, namun dipujuk juga hati Ibu untuk rela membenarkan. Dia mahu mencari pengalaman. Dia mahukan kehidupanya yang tidak terkurung di satu tempat yang sama. Tetapi sehingga ke hari ini, pengalaman mahupun kehidupan yang dicari masih cetek di paras buku lalinya sahaja. Tiada terpenuh di dada. Dia masih mencari dan terus mencari.

“Apa yang kau lamunkan?” tanya Nadya, teman sekolahnya yang juga teman serumahnya. Dia menoleh memandang Nadya yang manis dan ayu. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipi gadis itu. Dia Cuma menggeleng.

“Kau masih fikirkan Badrul ye?” soal Nadya dalam nada yang bergurau. Dia tersentak bilamana mendengar nama Badrul. Iya, Badrul adalah pemuda yang baru saja dikenalinya beberapa minggu yang lalu. Perkenalannya cukup biasa sahaja memandangkan Badrul adalah seorang posmen dan dia cumalah seorang penginap di flat itu. Berjumpa saja hanya di ruangan peti surat di tingkat bawah. Tiada apa yang menarik. Ada juga sesekali dia berbual dengan Badrul bila dia tersempak ketika mahu ke luar ke tempat kerja. Tetapi perbualannya hanyalah omong kosong, sementara menunggu Badrul menyerahkan bil atau surat kepada dirinya. Jika tiada, jangan katakan sepotong ayat, memandang juga Badrul tidak pernah.

“Ish merepeklah,” jawab dia pantas. Dia tidak mahu lamunannya itu disalah anggap. Memang benar kadangkala dia melepak di balkoni itu, dia akan melihat Badrul melintas di kawasan perumahan itu dengan motorsikal posmennya. Tetapi itu jarang-jarang berlaku, kerana kandangkala bukan Badrul saja posmen yang akan melintas di situ. Ada juga posmen lain yang akan melintas dan ianya bukanlah Badrul.

***

Hari itu dia pulang lewat dari tempat kerja. Ini semua gara-gara tersalah mengisi borang yang bertimbun dan akhirnya memaksa dia mengambil OT untuk menyiapkan segala kerja yang tersadai. Kalau dikira pada waktu, sudah hampir 4 jam dia tidak beralih dari tempat duduknya dan akhirnya segala kerja yang tersadai tadi lunas disiapkan. Dia pulang ke rumah dengan hati yang gembira disamping perutnya sudah memainkan lagu keroncong.

Sampai saja di perkarangan flat, dia terlihat sebuah gerai burger yang masih dibuka walaupun jam sudah lewat 12 tengah malam. Hatinya memaksa untuk dia singgah sebentar. Dengan langkah yang penat dan malas, dia menguatkan kudratnya untuk menapak sebentar ke gerai itu. Raut wajahnya sudah lesu benar.

“Bagi saya burger ayam dua ye,” minta dia tanpa memandang ke arah si penjual.

“Hai, lewat balik. Makan burger je ke,” suara yang cukup dikenalinya itu benar-benar menyentak akal dan pemikirannya. Dia yang sedari tadinya lesu terus saja segar bugar. Wajah si penjual burger dilihat dalam kesamaran lampu neon. Ya, dia kenal si penjual burger itu.

“Apa awak tanya tadi?” tanya dia sekali lagi.

“Saya kata lewat awak balik, makan burger je ke?” Badrul mengulang semula soalannya. Tidak tahu apa kuasa yang merasuk dirinya pada malam itu sehinggakan dia boleh tersenyum dan tertawa. Jika difikirkan dengan akal, soalan itu bukanlah soalan yang lucu. Badrul pelik melihat perubahan sikap dia. Badrul Cuma membiarkan dia terus tersenyum dan tertawa kerana Badrul sendiri memang sudah lama mahu menegur si dia secara santai. Baginya, ada satu keistimewaan yang ada pada si dia, sehinggakan Badrul senang untuk bertanya dan berbual kosong.

“Bila masa pulak awak buka gerai burger ni?” tanya dia setelah lama tersenyum. Badrul yang sedang membalik-balikkan daging burger terus memandang tepat ke anak mata dia. Dia gugup sebentar. Terasa ada panahan yang melekat. Pasang matanya cepat-cepat dikalih dari terus direnung tajam.

“Ini bukan gerai saya. Ini gerai member saya. Malam ni dia sakit, jadi saya tolonglah dia,” jawab Badrul sementara tersenyum. Perbualan mereka terputus di situ. Tiada lagi borak kosong melainkan desiran minyak di atas kuali. Selesai membugkus, Badrul memasukkan kedua burger tadi ke dalam plastik lalu diserahkan kepada dia. Dia menyambutnya laju sambil menghulurkan kepingan not sepuluh ringgit.

“Makan baca Bismillah..” sambil menyerahkan wang baki kepada dia. Dia lansung tidak mengangkat muka, cuma ucapan terima kasih yang mengiringi sambutan wang itu sambil kakinya laju melangkah meninggalkan Badrul yang tersengih sendiri.

***

“Kau tahu tak yang Badrul dah tak kerja posmen lagi!” Nadya memulakan bicaranya. Dia yang santai sambil membelek majalah terpana sebentar. Helaian majalah yang tadinya diselak laju kini diselak perlahan-lahan. Otaknya ligat memikirkan kenapa Badrul berhenti dari kerjanya. Apakah Badrul sudah menerima kerja yang lebih baik. Jika mahu difikir-fikir kembali, apa kena mengenanya Badrul dengan dirinya sehingga dia harus berfikir sejauh itu. Dia menggeleng-gelenggkan kepala supaya apa yang difikirnya terhapus dari benar fikirannya.

“Aku rasalah dia nak kahwin lah,” teka Nadya.

Kahwin? Apa kena mengena kahwin dengan berhenti kerja. Otaknya kembali menyoal dan berfikir. Kini dia sudah sedar yang otaknya memang senang bertindak balas bila nama Badrul disebut. Kenapa otaknya bertindak balas begitu? dia hairan.

“Haah, baru aku teringat. Tadi ada posmen datang dan hantar barang ni pada kau,” Nadya menyerahkan sebungkus kotak kepada dia. Dia merenung kotak itu sambil hatinya menyoal sendiri. Kotak apa pulak ni? Cepat-cepat tangannya mengoyak kertas bungkusan itu. Matanya terbeliak.
“Apa tu?” tanya Nadya sambil menjenguk-jenguk ke dalam kotak.

“Aku rasa ni burger,” sambil mengeluarkan bantal yang berbentuk burger.

“Siapa plak yang bagi kau bantal burger ni?” Nadya tertawa kecil.

Dia sendiri tidak tahu siapa pengirimnya dan yang pasti burger itu mengingatkan dirinya kepada seseorang iaitu Badrul.

***

Dia tidak pernah terfikir untuk mengubah penampilan dirinya biarpun tubuhnya cantik seperti supermodel. Inikan pula yang melibatkan rambutnya yang kerinting dan besar itu. Menurut Nadya, rambutnya yang kerinting dan tebal itu, jika diluruskan, pasti akan panjang hingga ke paras lutut. Dia terperanjat mendengar kenyataan temannya itu. Bukan dia tidak percaya dengan kenyataan Nadya, tetapi dia ragu-ragu dengan alatan eletrik yang dipegang oleh Nadya ketika itu.

Seterika, tujuannya untuk meluruskan rambut. Bukankah ada alatan yang lebih spesifik yang boleh digunakan ke atas rambutnya selain dari seterika. Tubuhnya menggeletar sebentar. Jika bukan hari ini rambutnya hangus di tangan Nadya, pasti di kemudian hari akan tetap juga berlaku.

“Kau janganlah takut. Aku buat perlahan-lahan je. Kata nak berubah. Karang kalau kau pergi saloon dengan rambut yang kerinting dan tebal macam ni, aku takut tak pasal-pasal RM 500 duit kau hangus. Kau nak ke macam tu?” Nadya memujuk. Dia yang masih ragu-ragu hanya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi, agar segala apa yang dilakukan Nadya nanti selamat dan tidak melibatkan wad kecemasan.

Hampir 6 jam juga Nadya bertungkus lumus meluruskan rambut dia. Diselang selikan dengan air kopi di atas meja, akhirnya rambut yang dulunya kerinting dan menggerbang seperti polong, kini lurus dan cantik seperti rapunzel. Nadya tersenyum lebar, begitu juga dengan dia yang tidak habis-habis membelai rambutnya yang lurus hingga ke paras lutut itu.

“Betullah, memang panjang,” dia gembira melihat perubahan yang berlaku kepada rambutnya itu.

“Kau nak aku potong?” tanya Nadya.

“Tak perlu, aku suka rambut aku begini,” jawab dia gembira.

“Aku tau, mesti kau nak tocang rambut kau tu, lepas itu duduk di balkoni menunggu Badrul datang. Bila dia dah datang, bolehlah kau lepaskan rambut kau tu. Minta dia panjat dan selamatkan kau dari rumah aku ni kan?” Nadya saja berseloroh. Ada hilai tawa yang diselang-selikan dengan kata-katanya sebentar tadi. Dia gugup mendengar kata-kata Nadya. Walaupun kedengaran bersahaja dan sengaja direka-reka, namun ada juga terselit kebenaran di dalam kata-kata nadya itu.

“Ish kau ni, mana ada. Memandai je mulut kau tu kan!” dia bersikap malu-malu. Kali ini dia menguatkan hatinya untik melihat cermin, melihat wajahnya yang kini berubah, dari seorang yang biasa, kepada seorang yang manis dan ayu.

“Tengok pada cermin itu. Siapa kata kau tak cantik?” soal hatinya.

***

Semenjak perbualan bersama Badrul di gerai burger itu, dia lansung tidak pernah lagi bertemu dengan pemuda itu. Fikirnya memang betullah Badrul sudah berhenti kerja. Hatinya sedikit kecewa. Di balkoni, dia tidak lagi melihat motorsikal Badrul melintas membawa surat. Jiwanya terlopong kosong. Biarpun perasaannya itu hanyalah mainan otaknya sahaja.

Sesekali dia berteleku di atas lantai balkoni sambil membelek bunga-bunga yang ada di dalam pasu. Sedang tangannya asyik membelek bunga-bungaan itu, tiba-tiba angin petang meniup lembut rambutnya yang panjang itu lalu menutupi separuh mukanya. Dia tersenyum lalu menyelak rambutnya ke belakang. Ketika itulah dia terlihat seorang pemuda merenungnya dari dalam perut kereta.

Biarpun dia di tingkat 4, matanya masih lagi boleh melihat dengan jelas siapa atau apa yang ada di perkarangan flat itu. Hatinya berdebar seperti mahu luruh. Siapakah itu? Soal hatinya. Apakah benar dia memandang ke sini, ataupun itu hanya perasaanku saja? Soalnya lagi. Takkala dia bangun untuk memerhati lebih tepat. Cermin kereta ditutup dan bergerak meninggalkan kawasan itu. Perasaannya berubah resah. Orang jahatkah itu? Soal dirinya lagi.

***

“Tadi aku berjumpa Badrul. Dia kirim salam dengan kau,” Nadya selamba mengatur cerita.

“Badrul, kau jumpa Badrul..Errr di mana?” tanya dia lambat-lambat.

“Aku jumpa dia di Mid Valley dengan seorang perempuan,” Nadya menjawab dengan nada yang masih juga bersahaja.

“Pe..perempuan!” terketar suara dia melafazkan ayat perempuan itu. Jiwanya luluh berkecai. Memang benarlah Badrul akan berkahwin seperti apa yang dikatakan Nadya sebelum ini. Jiwanya sedikit kecewa. Biarpun dia dan Badrul bukan siapa-siapa, namun dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya bisa berperasaan begitu. Dia seakan suka, sukakan Badrul. Dia seakan tidak boleh mengelak semenjak pertama kali Badrul merenungnya di gerai burger itu. Perasaan apakah itu, adakah ianya hanya sekadar suka yang biasa-biasa sahaja?. Dia memang lansung tidak mengerti, inikan pula yang berkaian dengan kasih sayang dan cinta.

“Semalam ada posmen hantar barang lagi untuk kau,” Nadya mulai teringat.

“Barang apa?” tanya dia pelik.

“ Itu, ambillah dekat atas rak tu,” Nadya menunjukkan tempat barang itu diletakkan dengan jari telunjukknya. Kali ini barang itu datang dengan kotak yang agak kecil dari sebelum ini. dia mula membukanya.

“Aku rasalah, kau ni ada peminat rahsia lah,” Nadya meneka. Dia yang sudah selesai membuka balutan kotak itu terus mengeluarkan sepasang sikat berwarna coklat cair. Keduanya mempunyai bentuk yang berlainan dan kelihatan mahal sekali.

“Wah, cantiknya,” Nadya terpegun. Begitu juga dia.

“Samada peminat kau ni gila atau kaya, itu saja yang boleh aku cakap,” Nadya masih melihat sikat itu dengan mata yang bersinar-sinar.

Dia hanya berdiam. Tidak tahu apa yang harus diungkap. Setahu dirinya, dia tidak pernah mempunyai peminat rahsia, jadi..

“Siapa pula yang bagi ni?” soal hatinyasendiri.

***

Kepulangannya ke kampung benar-benar membuka akalnya untuk lebih cerdas berfikir. Tidak sangka panggillan yang membawa dia pulang ke kampung dihujani dengan hajat yang cukup besar.

“Ibu rasa, ibu patut terima lamaran itu,” luah Ibunya.

“Lamaran apa pula ni Ibu?” soal dia yang semakin keliru.

“Semalam ada rombongan yang datang meminang kau. Jadi Ibu fikir baik Ibu menerimanya memandangkan keluarga lelaki itu suka benar dengan kau,” Ibu menerangkan. Terkedu dia mendengar kata-kata Ibunya. Ada yang datang melamarnya, tapi siapa?

“Ta..tapi dari siapa lamaran itu Ibu?” terketar-ketar suara dia bertanya. Tidak sangka dalam diam ada juga yang menginginkan dia menjadi suri.

“Satu keluarga dari Kuala Lumpur. Puas juga Ibu bertanya siapa yang menghantarkan pinangan, tetapi mereka pinta ianya dirahsiakan,” jawab Ibu sambil menghulurkan cincin berlian kepada dia. Dia mengambil cincin berlian itu perlahan-lahan. Tangannya menggeletar kuat. Milik siapakah empunya cincin ini, mengapa harus berteka teki kalau jujur mahu melamar dirinya.

“Kata keluarga itu, kamu kenal siapa orang yang menghantar lamaran ini?” Ibu bersuara lagi. dan kali ini kenyataan Ibu benar-benar menyesakkan akal dan fikirannya. Kenal apa?, Siapa? Dia semakin kusut.

“Katakan saja pada mereka yang saya masih belum bersedia,” dia sudah malas mahu berfikir. Lamaran itu ditolaknya mentah-mentah tanpa berfikir panjang. Dia tidak mahu menikahi orang yang tidak dikenalinya biarpun orang itu datang dari keluarga yang kaya. Dia masih punya hati dan perasaan, dan perasaannya kini sudah semakin berkecamuk.Dia bermenung di tepi tingkap sambil memerhatikan matahari yang semakin hilang di balik bukit. Apakah yang hatinya mahu, dia sendiri tidak pasti.

***

Kadang-kadang dia mengibaratkan dirinya seperti Rapunzel. Terperankap di sebuah menara dan menanti seorang putera untuk datang menyelamatkannya. Tetapi dia juga sedar, itu semua hanyalah angan-angannya sahaja. Mana bisa dia menjadi seperti Rapunzel walaupun rambutnya panjang mencecah lutut. Dengan rambut yang sepanjang itu, sampai ke tingkat bawah saja belum tentu sampai. Inikan pula dijatuhkan ke bawah semata-mata untuk menjadi tangga kepada putera yang mahu menaikinya. Pasti rambutnya akan berasa perit dan sakit dan itu menidak mungkinkan lagi angan-angan yang selalu bermain difikirannya. Dia memang kuat berimaginasi.

Tetapi perasaan terperankap itu memang benar-benar wujud. Terperangkap atas alasan sikapnya sendiri. Dia bukanlah jenis manusia yang suka bergaul dan bergembira seperti temannya Nadya. Walaupun sudah dipelawa berulang kali, dia tetap menekankan yang dia patut duduk di rumah. Dia lebih senang begitu bagi menjaga maruah dirinya.

Namun malam itu perutnya lapar. Dengan perasaan malas yang membuak-buak, dia turun ke bawah dengan niat mahu membeli burger. Selangkah lagi kakinya mahu melintas ke seberang jalan, tiba-tiba sebuah lori memecut laju menghampiri dirinya. Dia terpana dan terpaku. Kakinya tiba-tiba menjadi keras dan lansung tidak boleh bergerak. Mungkin kerana darah yang sudah turun ke perut, hatinya mula menjadi kecut.

Hampir saja batang tubuhnya ingin dirempuh pleh lori yang berderu laju dan dengan sepantas kilat tubuhnya dirangkul kuat. Terjatuhlah dia ke tepi jalan sambil dipeluk oleh penyelamat yang tidak dikenalinya itu. Lori tadi terus meluru laju tanpa henti. Orang yang ada di sekeliling terperanjat melihat siutasi itu. Masing-masing mula mendapatkan dia dan penyelamatnya itu. Ada yang membantu dan ada juga yang memaki si pemandu lori hantu yang sudah lenyap dari pandangan mata. Darahnya masih turun naik,mukanya juga begitu pucat.

“Awak tak apa-apa?” tanya penyelamatnya tadi.

Dia masih lagi dalam mood yang terkejut. Soalan tadi tidak berbalas. Kepalanya mula berasa pening dan tekaknya mula berasa loya. Mungkin kerana masih gemuruh dengan apa yang terjadi, seluruh tubuh badannya mula menunjukkan reaksi yang negatif.

“Kalau awak rasa tak ok, saya boleh hantar awak ke klinik?” suara itu. iya suara itu. Dia kenal suara itu. Cepat-cepat dia menoleh memandang suara si penyelamatnya itu. ternyata penyelamatnya itu ialah Badrul. Tetapi bagaiman Badrul boleh berada di situ?

“Awak...a..apa awak buat dekat sini?” terketar-ketar suara yang terkeluar dari mulut dia. Ketika itu tanpa di pinta-pinta air mata yang bertakung mula menitis di pipinya. Dia tidak tahu mengapa dia mesti menangis. Dia keliru.

“Eh, awak ok ke ni?” Badrul resah melihat air mata yang semakin laju mengalir di pipi dia. Tidak tahu perasaan apa lagi yang menghantui dirinya melainkan gembira melihat Badrul yang ada di sisinya.

“Apa awak buat dekat sini?” soal dia lagi sambil menyeka air mata yang masih lagi mengalir.

“Tu...” Badrul menjuihkan bibirnya ke arah gerai burger yang ada di seberang jalan. Di muka depan gerai burger itu tergantung papan tanda yang besar tertulis

‘BADRUL CINTAKAN LAILA’ . Tidak semena-mena cincin berlian yang sama dilihatnya seperti di kampung dulu disarungkan ke jari manis dia. Dia tertawa kecil. Ketika itu hatinya begitu gembira sekali. Tidak tahu mengapa. Mungkin kerana dia sudah diselamatkan.

“Rasanya cincin ni sesuai ada di jari awak,” mereka sama-sama tersenyum.

ps: 1st time buat citer cinta..kehkehkeh..cam hampeh...

5 comments:

Unknown said...

pergh mantap juga cerita akak nie..aduyai, kenapa tak buat berepisode kak,,,lagi suspen kot nty last ceritanya dan mesti ayie akan tertunggu..hehe aduyai, tpi boleh tahan jalan ceritanya..

kindergartenlibrary said...

wow !! giloo best ! boelh try buat novel !!!

amranaiman said...

perghhhhh~~ panjang nih... cerpen panjang..aku, posmen dan burger... hahaha

Hanny Esandra said...

ehemm..
nama kawan dia tu... nama kawan dia.. patutlah nak tersedak je aku dua tiga hari ni..~

CintaZulaikha said...

kahkahkahkakah.....suak tak, suka tak???