Wednesday, July 7, 2010

surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) akhir


Saudari Zulaikha

Assalamualaikum,

Maaflah jika kelewatan suratku ini telah melukakan perasaanmu. Tetapi aku juga bersyukur yang kau telah sembuh dari sakitmu. Mungkin ini adalah kesalahanku kerana tidak membalas surat-suratmu. Tetapi percayalah itu bukan niatku kerana aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan isi suratku. Berminggu-minggu lamanya aku memikirkan kata-kata yang terbaik untuk dirimu kerana aku tidak mahu mengecewakan hati dan perasaanmu seperti mana yang berlaku semasa kau berada di sini dahulu.

Aku hanyalah seorang pemuda biasa, pemuda yang tidak layak untuk dirindui oleh seorang gadis yang sempurna seperti dirimu. Bukan status yang menjadi penyebabnya tetapi perasaanku ini belum lagi cuba untuk menafsirkan kata-kata rindu darimu. Kata Razif, aku terlalu malu. Iya itu juga mungkin benar. Malu adalah sifatku yang tidak dapat kukikis. Tetapi tunjang kepada persoalan ini adalah aku cuba untuk merindui dirimu seperti mana kau merindui diriku. Namun cinta dan rindu adalah perkataan yang besar buat diriku. Ya Allah, sungguh besar perasaan yang kau berikan kepadaku sehinggakan aku sendiri tidak mampu untuk memikulnya.

Wahai Zulaikha, aku cuma berharap agar kau terus bersabar dan aku jua berterima kasih kepada dirimu kerana sentiasa merindui diriku. Tetapi fahamlah yang cinta dan kasih itu akan datang dengan sendiri jika kita terus berdoa untuk meminta petunjuk dariNya. Semoga cinta dan rindu yang kau hulurkan dapat kuterima dengan hati yang terbuka kerana Allah itu maha pengasih lagi penyayang. Jika kita mempunyai jodoh maka kita akan bersatu, maka serahkanlah semua itu kepadaNya wahai Zulaikha. Kepada Tuhan yang satu, Allah swt.

Yusuf

No comments: