Monday, July 12, 2010

Kisah janda pembancuh kopi (cerpen) akhir


Semua ini berlaku bukan kerana salahnya, tetapi sikap gatal dan miang keladi yang ada pada lelaki-lelaki itulah yang membuatkan dia menjadi bahan cemuhan orang. Pernah juga dia mengambil keputusan untuk tidak melayan lelaki-lelaki itu tetapi semuanya hampa bila Wak Karim menasihatkan dirinya untuk sentiasa bersabar dengan karenah mereka. Dia tahu bukan itu maksud sebenar yang ada di dalam hati Wak Karim, Wak Karim mahu warungnya sentiasa dipenuhi pelanggan biarpun dia tahu tujuan sebenar orang-orang itu kemari.

Semenjak Miah Bunga menjadi tukang bancuh kopi di warungnya, semakin ramai pula pelanggan yang datang. Dia tidak menyangka yang kuat juga pengaruh yang di bawa oleh Miah Bunga ke warungnya itu, jadi oleh yang demikian dia memilih untuk terus mengikat Miah Bunga di warungnya itu sebagai pelaris. Hati dan perasaan Miah Bunga dijaga dengan sebaik mungkin agar Miah Bunga tidak berfikir untuk meninggalkan kampung itu walaupun Miah Bunga mempunyai masa depan yang lebih cerah di luar sana.
Maka setiap harilah pemuda-pemuda bahkan yang seusia dengannya datang berduyun-duyun kewarungnya dari terbitnya matahari hinggalah ke senja kala. Walaupun hanya dengan secawan kopi, Wak Karim tahu yang pelanggannya akan kekal di situ dan tidak kemana-mana.

Petang itu Bidin Sentul datang ke warung Wak Karim dengan membawa sepasang songket berwarna biru air. Mata-mata yang memandang mula tidak senang hati bila Bidin Sentul cuba mengumpan Miah Bunga dengan songket biru air yang mahal itu, terdengar bisikan halus Bidin Sentul mengajak Miah Bunga ke pekan pada petang itu. Wak Karim yang terdengarkan perbualan itu mula menjeling tajam ke arah Miah Bunga. Miah Bunga hanya tersengih lalu menolak pelawaan Bidin Sentul dengan lembut.

Rata-rata yang terdengar akan penolakkan Miah Bunga itu cuma tergelak kecil, ada juga yang tersengih-sengih bahkan ada pula yang berbisik-bisik sesama mereka kerana tidak sangka yang pelawaan Bidin Sentul akan ditolak mentah-mentah oleh Miah Bunga.
Merah padam muka Bidin Sentul ketika itu, kejantanannya terasa tergugat. Miah Bunga yang hanya berstatus janda itu berani benar menolak ajakkannya,bahkan di depan orang ramai pula.

Malu sungguh dia ketika itu

“Tidak manis rasanya kalau Miah mengikut abang ke pekan, nanti apa kata orang. Bukankah isteri kedua abang sedang sarat mengandung, rasanya adalah lebih baik abang menemankan isteri abang di rumah dari membawa saya ke pekan dengan hanya untuk bersuka-suka”.

Kata-kata itulah yang paling pantas masuk ke telinganya. Terasa seperti dirinya begitu hina di mata Miah Bunga. Tidak dia menyangka yang umpan yang diberinya selama ini lansung tidak mengena. Dia kalah kepada janda muda itu malahan kekalahannya itu sudah menjadi bahan tawa pelanggan-pelanggan di warung itu.

Sampai ke hari ini jugalah Bidin Sentul tidak lagi menjejakkan kaki ke warung itu, malahan untuk lalu di luar warung itu juga dia tidak mahu. Mengenangkan perasaan malu dan marah kerana dikecewakan oleh Miah Bunga.

Satu hari datang seorang pemuda ke kampung itu dengan memperkenalkan dirinya sebagai Tajul Basri, tuan empunya estet getah di Kampung Rasak. Kedatangngannya ke kampung itu adalah dengan tujuan untuk mencari pembantu di banglo keluarganya. Pertama kali Tajul Basri melihat Miah Bunga, dia tertawan. Dari pandangan matanya beralih ke senyumannya benar-benar membuatkan hatinya terpikat. Tidak semena-mena Miah Bunga ditawarkan untuk berkerja di banglonya.

Semua yang ada di dalam warung itu terpana mendengarkan tawaran Tajul Basri, mereka berdoa agar Miah Bunga menolak seperti mana Miah Bunga menolak ajakkan Bidin Sentul ke pekan tidak lama dahulu. Miah Bunga cuma tersenyum, dia tahu inilah perubahan yang dicarinya selama ini. Perubahan baru bagi dia lari dari cemuhan dan godaan yang tidak diingininya. Tetapi dia juga perlu berfikir dahulu dan dia meminta agar diberikan tempoh kepadanya sehinga dua hari yang akan datang.

Mendengarkan tempoh dua hari yang diminta oleh Miah Bunga, masing-masing berusaha mencari jalan untuk menghalang Miah Bunga dari memilih jalan yang baru itu. Usaha itu lebih dilihat kepada Wak Karim yang saban kali memujuk Miah Bunga untuk menolak tawaran Tajul Basri. Perasaan ragu-ragu dan ingin tahu yang bercampur baur membuatkan Miah Bunga mengambil keputusan diluar jangkaannya iaitu dengan memilih untuk menerima tawaran Tajul Basri. Semuanya semata-mata untuk menjaga keamanan kampung itu dari terus menuduh dirinya sebagai janda penggoda.

Hari itu tiada lagi lelaki yang singgah ke warung itu, tiada lagi lelaki yang menjerit meminta kopi dan tiada lagi lelaki yang duduk hanya semata-mata untuk melihat janda yang pandai membancuh kopi.

No comments: