Friday, July 9, 2010

Kisah janda pembancuh kopi (cerpen) part 1


Seteguk saja sudah bisa membuatkan tekak yang kering menjadi basah, bukan basah kerana air kopi panas yang masuk ke anak tekak itu, tetapi basah kerana rasa pahit pekat asli yang ada pada kopi pekat itu. Kopi ini bukanlah kopi biasa, kopi ini ialah kopi asli yang datangnya dari biji kopi yang sebenar, biji kopi yang diimport dari india. Aromanya pula menusuk hidung takkala air panas menggelegak masuk ke dalam kole, sekali tarik rasanya pasti menggila. Namun begitu cerita kopi ini bukanlah cerita yang ingin disampaikan, tetapi cerita si pembuat kopi ini lah yang menjadi tajuk utamanya, tajuk utama yang menyebabkan seluruh kampung bagai di guna-guna kata orang, di guna-guna agar datang ke warung itu hanya untuk merasa secawan kopi, secawan kopi buatan janda muda, Miah bunga.

Bukan orang kampung di situ tidak tahu yang kopi pekat itu ialah kopi biasa sahaja, walaupun tuan punya kedai, Wak Karim ada mengatakan yang kopinya itu datang dari india, namun tiada siapa yang percaya mahupun peduli kerana mereka tidak mahu tahu mahupun menyelidik dari mana asalnya kopi itu. Ini kerana ia tidak termasuk di dalam perkara yang utama, iaitu Miah Bunga, janda berhias yang masih muda kerana kematian suaminya. Hampir setiap pagi, sebaik saja warung dibuka hampir setengah dari isi penduduk di kampung itu akan datang singgah ke warung itu dan yang terutamanya ialah orang lelaki ( seperti di rumah lansung tidak ada berair kopi) .

Apapun antara manusia yang paling kerap datang ke warung itu ialah Bidin Sentul, tuan punya estet getah pangkalan galang di hujung kampung. Semua orang tahu yang Bidin Sentul sudah beristeri, malahan isterinya bukanlah satu tetapi dua. Anak pula janganlah dikira, bukan seorang dua tetapi sudah masuk yang kelima. Seingat mereka, isteri yang kedua itu kini sedang bunting anak keenam, jadi apa lagi yang Bidin Sentul ingin cari, isteri, anak malahan duit semuanya sudah lengkap. Tetapi mereka tahu semua itu lansung tidak dapat memuaskan hati Bidin Sentul, al-maklumlah orang kaya, sekadar dua memang tidak dapat memuaskan nafsu hatinya, inikan pula bila duit di poket setebal senaskah dewan.

Masam saja muka anak muda yang meneguk kopi bahkan yang separuh usianya juga bila melihat Bidin Sentul menghulur bungkusan coklat kepada Miah Bunga dari tepi pintu dapur. Tersengih-sengih Bidin Sentul bila Miah Bunga menyambut huluran bungkusan itu tanpa berkata apa, baginya ketika itu dialah yang paling hebat takkala Miah Bunga mengucapkan terima kasih setelah melihat isi bungkusan itu dengan senyuman yang kecil. Kain ela baju kebaya berwarna hijau pucuk pisang dimasukkan semula ke dalam beg plastik yang tergantung di tepi pintu, Bidin sentul dijemput duduk dengan senyuman yang paling manis.

Panas saja hati pemuda-pemuda itu bila Miah Bunga melemparkan senyuman kepada Bidin Sentul, bagi mereka Bidin Sentul memang saja mahu masuk jarum dengan mengumpan barang yang mahal-mahal. Walaupun Miah Bunga kelihatan polos, namun setiap gadis atau wanita tetap ada naluri yang menginginkan sesuatu dan hasilnya, Bidin Sentul bisa memberikan segala-galanya. Memang dasar buaya darat, cemuh pemuda-pemuda itu di dalam hati.

bersambung

No comments: