Tuesday, July 6, 2010
surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) part 4
Saudara Yusuf,
Aku malu ingin menyatakannya kerana apa yang terjadi memang di luar batasanku sendiri.
Wahai Yusuf, bila semalam kau cuba untuk bertemu denganku, aku berasa sangat marah sekali. Ini kerana hatiku sudah tertutup buatmu bila memikirkan kata-kata yang kau lafazkan kepada Maisarah tempoh hari. Tetapi apakan daya, jiwa ragaku sememangnya tidak dapat melarang dari aku terus memikirkan dirimu. Saban malam mimpiku hanyalah gambaran wajahmu. Adakah aku telah hanyut di dalam mimpiku sendiri dan adakah hanya aku saja yang memimpikan dirimu.
Kata Maisarah, jika dia memperolehi dirimu sebagai temannya, pasti dia tidak akan mencari yang lain. Berdesing telingaku apabila mendengar kata-kata yang terluah dari mulut Maisarah itu. Seperti Maisarah sengaja mencari marahku dan terus menerus membicarakan tentang dirimu sebagai topik perbualan kami. Aku tahu yang aku tidak layak untuk memarahi Maisarah kerana Maisarah mempunyai hak untuk menyatakan tentang pendapatnya mengenai dirimu. Namun akhirnya perbualan kami membawa kepada noktah yang ku tunggu-tunggu iaitu tentang perasaan yang ada di dalam hatiku, perasaanku terhadap dirimu.
Iya, Maisarah dapat menghidu akan perasaanku. Katanya hatiku terlalu keras, keras seperti batu, dan cuma Yusuf seorang saja yang bisa melembutkan hatiku. Aku malu, ini kerana aku sendiri tidak pasti dengan perasaanku. Adakah aku mencintai dirimu wahai Yusuf. Kalau benar aku mencintai dirimu, jadi adakah kemarahanku tempoh hari adalah sengaja kulakukan agar kau menemuiku pada malam semalam. Iya, mungkin benar, aku merajuk dan marah hanya semata-mata untuk menemui dirimu. Jika bukan kerana kata-katamu itu, pasti sehingga kini aku tidak akan bertemu denganmu secara bertentang mata.
Wahai Yusuf, walau sekali kau menyatakan maaf buat diriku, seribu kali aku telah memaafkan dirimu. Tidak tega aku untuk terus membencimu. Aku cuma marah, marah yang sedikit, marah kerana cemburu akan sifat ambil beratmu terhadap teman-temanku. Kerana pada fikiranku senyummu, tubuhmu bahkan hati dan sifat ambil beratmu hanyalah untukku, Zulaikha gadis yang sentiasa menanti balasan senyummu.
Zulaikha
Labels:
writing
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment