Wednesday, October 6, 2010

Melupakan



Dia melihat daun-daun hijau yang ada di dalam pasu bunga coklat itu semakin hari semakin layu dimakan waktu. Mungkin itu silapnya juga kerana setiap detik dia mudah melupakan pekerjaan yang harus dilakukannya itu. Biarpun kerja menyiram pokok bunga itu merupakan kerja yang paling mudah, tetapi dia tetap juga terlupa, terlupa untuk menyiram pokok yang semuda itu. Hasilnya kini pokok itu tidak mahu segar lagi, tanahnya kering, rantingnya rapuh bahkan daunnya kuning, gara-gara kerana dia terlupa.

Hampir setiap hari dia semakin dihanyut waktu yang dia sendiri tidak pasti, bukan hanyut kerana malas atau waktu kuliah yang ketat, tetapi hanyut kerana otaknya yang mungkin sudah tidak berfungsi lagi. Setiap hari dia menyalahkan dirinya sendiri, menyoal akan tindakannya yang sia-sia. Sedari celiknya mata hinggalah layu kerana malam, dia seperti dapat mengira apa saja yang dibuatnya dan apa saja yang diingatinya.

Pernah terdetik difikirannya, mengapa dia begitu, mengapa dia sering terlupa. Adakah kerana umurnya, tidak mungkin, kerana umurnya masih muda, masih lagi setahun jagung. Bahkan kalau hendak dihitung dengan jari juga masih boleh dikira, iya dia masih lagi muda. Tetapi mengapa dia mudah lupa?, itulah persoalan yang sering bermain difikirannya.

Semuanya bermula pada hari itu, hari cerah yang akhirnya disudahi dengan hujan lebat. Dia yang sudah bersiap sedia untuk ke kuliah akhirnya bertangguh masa bila dia terperangkap di tepi perhentian bas. Salahnya juga kerana dia bangun lewat. Jam yang dikunci tidak berbunyi, dia jadi kelam kabut sambil memaki hamun jam yang sudah berada di dalam tong sampah. Memang dasar manusia menyalahkan benda yang tidak bernyawa jika benda itu tidak melakukan tugasnya dengan betul.
Hampir 2 jam dia berdiri di depan perhentian bas, dari di kaki lima dia beralih ke depan palang kerusi, dari palang kerusi dia sudah berdiri di atas palang itu pula. Perasaan segan, malu atau apa saja yang diibaratkan manusia tidak lagi ada di dalam kepala otaknya, yang dia tahu cuma dia harus mengelak dari terkena hujan bahkan tempias hujan sekalipun.

Dari detik itulah dia sudah terlupa atau lebih benar lagi, melupakan. Dia sendiri tidak dapat mengingat apa punca yang menyebabkan dia terlupa. Puas dia memikirkan dan setiap kali dia cuba membayangkan dia kembali terlupa. Pernah sekali dia menulis diari sebagai panduan untuk dia mengingati apa yang telah dibuat sepanjang hari itu, tetapi semuanya bagaikan tidak wujud bila dia menyelak diari itu dikeesokkan harinya. Seperti dia terlupa atau dalam kata lain, semua perkara yang dilakukan sebelum ini semuanya tidak wujud, tidak pernah dibuat atau dejavu semata-mata. Adakah kerana semua yang dilakukan itu hanyalah mimpi, dia cuba untuk membuat kesimpulan.

Buku psikologi yang selama ini tidak pernah diselak malahan tidak pernah terfikir untuk dibaca berada tepat di depan mukanya. Khalif, teman kuliahnya berasa hairan melihat situasi yang pelik itu.

“ Kau okey?”
“ Kenapa, aku nampak macam tak okey ke?
“ Memang pun, sebab kau baca buku tu.” Sambil menjuihkan bibir ke arah buku psikologi yang sudah separuh diselak.
“ Kenapa kau baca?”, tanya Khalif.

Dia terlupa mengapa dia harus membaca buku itu. Terdiam dia sebentar sambil merenung buku yang lansung tidak difahaminya. Penyakit, mungkin ini penyakit.
Kejadian itu benar-benar merunsingkan akal dan fikirannya, mahu saja dia menghentakkan kepalanya ke dinding walaupun dia tahu tindakannya itu bakal merosakkan dirinya sendiri. Tetapi haruskah dia berbuat begitu hanya semata-mata kerana terlupa. Semalam, ibunya ada menghubunginya, meminta dia untuk pulang ke rumah. Tetapi hari ini dia terlupa, hasilnya satu hari suntuk dia menerima ceramah dari ibunya, menyatakan yang dia tidak mengambil berat akan hal keluarga. Bukan dia tidak mahu pulang ke rumah, tetapi dia terlupa.

Pernah dia membincangkan hal itu bersama Khalif, kata Khalif mungkin dia sudah mengalami amnesia, sejenis penyakit lupa yang sering dialami sesetegah orang dan terutamanya pada golongan tua lebih dari 40-an. Tetapi mana mungkin, sebab dia belum lagi memasuki alam 20-an.

“Mungkin awak sudah mengalami amnesia”. Doktor itu menerangkan secara ringkas.
“Tapi saya masih muda?”. Dia bersuara agak kurang senang. Perkataan amnesia itu benar-benar menyesakkan fikirannya. Dia tidak mahu apa yang dikatakan oleh Khalif itu menjadi benar, dia tidak mahu menerimanya malahan dia tidak mahu penyakit itu menular di dalam otaknya. Dia tidak mahu melupakan, masih ada banyak perkara lagi yang harus dia lakukan dan lupa itu adalah perkara terakhir yang mungkin patut berlaku.

Dia terperanjat bila kertas ujian itu diletakkan di depannya. Ujian, hari ini ada ujian. Dia lupa lagi. Penyakit lupanya semakin kuat.

“Mengapa kau tak ingatkan aku yang kita ada ujian?” dia marah-marah pada Khalif setelah semua kertas ujian diambil. Sepatah soalan pun tidak mampu dijawabnya sebentar tadi, dia tidak tahu dan dia seperti tidak pernah melihat soalan pelajaran seperti itu. Seolah-olah inilah pertama-tama kalinya dia berada di dalam kelas itu. Khalif hairan melihat temannya seperti hilang arah.

“Bukankah kita dah ulang kaji semalam, takkan kau dah lupa!” kata Khalif geram. Kini Khalif tidak senang dengan sikap temannya itu. Dia yang tadinya marah-marah mula termenung, mungkin dia lupa lagi. Tetapi mengapa benda yang begitu baru juga dia mudah terlupa.

“ Kau jangan sampai satu hari nanti aku pun kau lupa”. Bentak Khalif. Dia tidak mahu melupakan Khalif, temannya itu, malahan dia tidak mahu melupakan segala-galanya. Biarpun keluarga ataupun kehidupannya. Melupakan adalah satu perkara yang mahu dijauhi tetapi dia seakan tidak mampu.

Semalam dia lupa mahu menyiram pokok jagaannya lagi. Tiada apa yang boleh dibuatnya lagi melainkan meletakkan pokok itu di hujung balkoni dalam keadaan yang layu. Terfikir akan dirinya bagaimana pada satu hari nanti dia lupa akan segala-galanya contohnya seperti makan, minum, keluarga bahkan namanya sendiri, itulah perkara yang paling ditakutinya. Melupakan nama sendiri adalah perkara yang serius. Dia mahu merubah tetapi perubahannya bagaikan mimpi kerana takkala dia bangun pagi, segala perkara yang berlaku kelmarin hanyalah mimpi semata-mata. Adakah ini kehidupan yang benar buatnya?, dia cuba mencari jawapan.

Sekilas dia melihat ke dalam tong sampah, jam loceng yang dibuang sekitar entah berapa lama yang dulu masih ada di situ. Jam siapa itu? Fikir hatinya. Bilakah dia membuangnya?, fikir hatinya.

Berpinar-pinar matanya melihat cahaya yang sedikit-sedikit masuk melalui celah-celahan tingkap. Dia keseorangan dalam keadaan yang kusut masai, rambutnya yang dulu kemas sudah tidak terurus lagi. Bajunya compang camping dan badannya berbau hamis. Dia lupa lagi, lupa untuk mandi, lupa untuk menghias diri, lupa bagaimana untuk bertanya, bahkan yang paling besar, dia lupa akan dirinya.

Pokok yang ada di tepi balkoni itu direnung dari celahan cahaya yang menyapu lembut wajah kerutnya. Siapa dirinya?, Siapa dia sebelum ini?, bagaimanakah dia boleh berada di situ dan bagaimana dia boleh terlupa. Dia keliru dan otaknya terus melupakan apa yang harus dilupakan.

No comments: