Thursday, December 16, 2010

radio usang (cerpen)



Semalam sewaktu dia sedang lewat di depan sebuah kedai peralatan, dia ada terlihat sebuah radio lama terhias usang di muka cermin kedai. Gayanya seperti sudah tua benar, tiada apa yang menarik melainkan ianya seperti sebuah artifak lama yang mengandungi kehebatan yang tertentu. Sebelum-sebelum ini, dia tidak pernah lagi melihat radio itu dipertontonkan begitu biarpun kedai itu sudah 50 tahun kelahirannya. Inilah julung-julung kalinya radio itu sengaja dipertontonkan dan ianya lansung tidak menarik minat sesiapa untuk melihat melainkan kedua biji matanya pada hari itu.

Langkah yang tadi diatur pantas kini terpaku di depan cermin kedai kayu yang sudah usang. Seperti dipanggil-panggil, dia mula mengatur langkah memasuki kedai tanpa sebarang bicara dan akhirnya dalam sekelip mata radio yang tadi hanyalah sebuah perhiasan sudah ada di dalam pautan tangannya. Terasa sayang benar dia akan radio itu biarpun ada mata-mata yang hairan dan pelik melihat tingkah lakunya. Pedulikan mereka, aku juga sayang padamu. Terdengar akan telinganya bisikkan yang datang secara tiba-tiba. Siapakah yang berbisik? Soal dia kehairanan.

Hari itu dadanya terasa lapang sekali. Matanya mahupun tangannya tidak henti-henti dari terus mengusap dan membelek tubuh usang radio lama itu. Dia teringin untuk mencuba memasangnya, mendengar samada radio itu masih lagi bisa berfungsi. Jika tidak, adalah sia-sia sahaja dia mengeluarkan duit yang mungkin tidak sebeberapa bila mana dia ditawarkan untuk menjaganya dengan hati-hati oleh pemilik kedai.

“Awak kena jaga baik-baik, saya tidak mahu bertanggungjawab jika awak disumpah”. Pemilik kedai itu tegas bersuara. Disumpah, apakah itu ayat yang terbaik bila seorang pelanggan cuba untuk membeli barangan antik yang ada di kedai itu. Saranan bagaimanakah itu bila mana ayat-ayat itu seakan-akan cuba untuk menakut-nakutkan dirinya. Dia bingung sebentar.

“Apa maksud tauke saya akan disumpah?,”dia bertanya lagi.

“Saya ada kata ke yang awak akan disumpah?”Tauke kedai itu pula yang sudah berputar belit.

Dia hanya menggelengkan kepala setelah duit yang tadinya cuba dibelanjankan untuk membeli ink sudah berada di tangan tauke cina itu.

Dia masih lagi mencari-cari suis yang seharusnya ada di badan radio itu tetapi lansung tidak berjumpa. Puas membelek dia tewas dalam pencariannya. Radio itu diletakkan di atas meja dan sebaik saja tangan dia melepaskan, radio itu mula berfungsi. Lagu-lagu keroncong sengaja dimainkan. Dia terpana sebentar, tidak sangka yang radio itu masih lagi bisa berfungsi. Perasaan yang tadinya sedikit kecewa kini sudah berbunga gembira. Tidak sia-sialah dia membelinya, bisiknya di dalam hati.

Pagi itu sehari suntuk dia mengelamun memasang telinga mendengar lagu-lagu keroncong yang beralun merdu. Dia seakan-akan asyik terbawa-bawa dengan lagu-lagu keroncong itu walhal sebelum-sebelum ini dia tidak pernah lansung mendengar lagu-lagu keroncong yang sebegitu.

Matanya tidak terasa lena, perutnya tidak terasa lapar bahkan badannya tidak terasa letih bila dia mendengar lagu-lagu keroncong itu. Apakah kerana radio itu memang punya keramatnya? Bisiknya di dalam hati. Arghh, tidak mungkin, mana ada radio yang punya keramat, radio ini bukanlah busut tempat yang disangka orang keramat sedangkan ianya semata-mata sebuah busut, habitat semut.

Dia masih asyik di kerusi malas. Kerja-kerja penulisan yang memerlukan dia segera untuk menyiapkannya dibiarkan tersadai di atas meja. Dia semakin hanyut.
“Kau masih belum siapkan novel ini, bukan ke dateline nya minggu ini?” Bakri hairan melihat sikap dia yang semakin berubah.

“Alah, kan masih ada masa 4 hari, nanti senang-senang aku siapkanlah”, dia menjawab ringkas. Bakri yang juga editornya cuba untuk memahami. Matanya memandang sekeliling rumah yang lansung tidak terurus, dari pinggan mangkuk yang ada di dalam sinki sehinggalah kepada kain baju yang ada di dalam baldi, semuanya bagaikan dilupakan. Lupa untuk dibasuh mahupun untuk dicuci.

Bakri mula mendapatkan dia yang masih tersadai di kerusi malas, ketika itulah dia terpandang radio usang yang ada di atas meja. Radio itu masih lagi memainkan lagu-lagu keroncong, Bakri semakin aneh.

“Dari mana kau dapatkan radio itu?” Bakri bertanya.

“Aku beli 4 hari lepas di pekan, baguskan?”tanya dia.

Bagus, apa yang dimaksudkan dengan bagus oleh dia!?. Tiada yang bagus yang ada pada radio usang itu. Jika radio usang itu adalah sebuah hi-fi, mungkin ada juga bagusnya kerana terbukti yang radio itu punya fungsi yang pelbagai, tidak seperti radio usang itu cuma punya sifat sentimental yang tidak bisa dilihat oleh Bakri.

Halaukan dia pergi, bisikkan itu kedengaran pergi. Kenapa mahu kau kusutkan kepala kau dengan kehadiran lelaki ini, kan lebih baik kau hanya bersama aku, mendengar lagu-laguku. Bisikkan itu cuba menghasut lantas menyesakkan akal fikirannya. Dia jadi makin keliru, apakah benar apa yang didengarnya itu ataupun ia hanyalah imaginasinya semata-mata.

Wajah Bakri ditatap tajam, seakan tertarik dengan bisikkan itu dia melemparkan pandangan yang kurang enak ke arah Bakri. Seperti mahu menerkamnya, seperti mahu menghapuskannya. Halaukan dia, bisikkan itu masih lagi menghasut.

“Aku rasa lebih baik aku pergi”, Bakri yang seakan tahu dengan pandangan itu meminta diri, tidak mahu terjerbak ke dalam situasi yang lebih dalam lagi. Sempat Bakri mengingatkan dia agar menyiapkan novel yang sudah 3 minggu terbengkalai itu. Dia hanya mendengus sebaik saja Bakri hilang di balik pintu.

‘Kau sayangkan aku?’ bisikkan itu bertanya.

“Mestilah, jika tidak takkan kau akan ku beli”

‘Sejauh mana kau sayangkan aku?’

“Sejauh mana yang kau mahu?”

‘Sejauh langit dan bumi, tapi jauhkah langit dan bumi?’

“Hmm, aku fikir jauh”

Dia tergelak sendiri sambil tangannya mengusap lembut badan radio itu dengan kain berbunga merah yang ada di tangannya.

‘Kau lapar?”

“Tidak, mendengarkan lagu-lagumu, aku tidak bisa jadi lapar”

‘Sayang sungguh kau kepada aku ye?’

“Mestilah”.Dia tersenyum lagi.

Begitulah hari-harinya kemudian. Tubuhnya semakin kurus kering, tidak mahu makan, tidak mahu minum. Tangannya cuma suka memeluk radio usang itu. Tiada lagi cahaya yang memenuhi ruang bacaan melainkan alunan lagu yang tiada henti. Dia benar-benar disumpah, melupakan kehidupannya, mencintai radionya.

“Bagaimana dia boleh gila begitu?” Bakri sayu bertanya doktor yang ada di depannya.

“Dia gila kerana mencintai radionya”
***

Hari ini hari minggu. Seperti hari-hari yang lain tauke kedai peralatan itu meletakkan sebuah radio usang di ruangan depan kedainya. Tujuannya cuma mahu menghias, tiada maksud lain. Tetapi sebaik saja radio itu diletak, masuk seorang pemuda bertanya.

“ Sudah ada pemilikkah radio itu?”

Tauke itu memandang tajam lantas dia tersengih.

“ Sudah kerana ia milik kamu.”

Pemuda tadi tersenyum gembira. Hari-hari kembali seperti biasa, penuh cinta dan rasa sayang hanya pada sebuah radio usang.

4 comments:

Asrul "iLham" Sany said...

genre seram... menarik gakk...

teringat kat idea tarot ko masa sebelum PeTA dulu...

CintaZulaikha said...

seram ker???

Hanny Esandra said...

wow.. bagus2..~

CintaZulaikha said...

ko sumer bagos nad..