Showing posts with label writing. Show all posts
Showing posts with label writing. Show all posts

Monday, July 12, 2010

Kisah janda pembancuh kopi (cerpen) akhir


Semua ini berlaku bukan kerana salahnya, tetapi sikap gatal dan miang keladi yang ada pada lelaki-lelaki itulah yang membuatkan dia menjadi bahan cemuhan orang. Pernah juga dia mengambil keputusan untuk tidak melayan lelaki-lelaki itu tetapi semuanya hampa bila Wak Karim menasihatkan dirinya untuk sentiasa bersabar dengan karenah mereka. Dia tahu bukan itu maksud sebenar yang ada di dalam hati Wak Karim, Wak Karim mahu warungnya sentiasa dipenuhi pelanggan biarpun dia tahu tujuan sebenar orang-orang itu kemari.

Semenjak Miah Bunga menjadi tukang bancuh kopi di warungnya, semakin ramai pula pelanggan yang datang. Dia tidak menyangka yang kuat juga pengaruh yang di bawa oleh Miah Bunga ke warungnya itu, jadi oleh yang demikian dia memilih untuk terus mengikat Miah Bunga di warungnya itu sebagai pelaris. Hati dan perasaan Miah Bunga dijaga dengan sebaik mungkin agar Miah Bunga tidak berfikir untuk meninggalkan kampung itu walaupun Miah Bunga mempunyai masa depan yang lebih cerah di luar sana.
Maka setiap harilah pemuda-pemuda bahkan yang seusia dengannya datang berduyun-duyun kewarungnya dari terbitnya matahari hinggalah ke senja kala. Walaupun hanya dengan secawan kopi, Wak Karim tahu yang pelanggannya akan kekal di situ dan tidak kemana-mana.

Petang itu Bidin Sentul datang ke warung Wak Karim dengan membawa sepasang songket berwarna biru air. Mata-mata yang memandang mula tidak senang hati bila Bidin Sentul cuba mengumpan Miah Bunga dengan songket biru air yang mahal itu, terdengar bisikan halus Bidin Sentul mengajak Miah Bunga ke pekan pada petang itu. Wak Karim yang terdengarkan perbualan itu mula menjeling tajam ke arah Miah Bunga. Miah Bunga hanya tersengih lalu menolak pelawaan Bidin Sentul dengan lembut.

Rata-rata yang terdengar akan penolakkan Miah Bunga itu cuma tergelak kecil, ada juga yang tersengih-sengih bahkan ada pula yang berbisik-bisik sesama mereka kerana tidak sangka yang pelawaan Bidin Sentul akan ditolak mentah-mentah oleh Miah Bunga.
Merah padam muka Bidin Sentul ketika itu, kejantanannya terasa tergugat. Miah Bunga yang hanya berstatus janda itu berani benar menolak ajakkannya,bahkan di depan orang ramai pula.

Malu sungguh dia ketika itu

“Tidak manis rasanya kalau Miah mengikut abang ke pekan, nanti apa kata orang. Bukankah isteri kedua abang sedang sarat mengandung, rasanya adalah lebih baik abang menemankan isteri abang di rumah dari membawa saya ke pekan dengan hanya untuk bersuka-suka”.

Kata-kata itulah yang paling pantas masuk ke telinganya. Terasa seperti dirinya begitu hina di mata Miah Bunga. Tidak dia menyangka yang umpan yang diberinya selama ini lansung tidak mengena. Dia kalah kepada janda muda itu malahan kekalahannya itu sudah menjadi bahan tawa pelanggan-pelanggan di warung itu.

Sampai ke hari ini jugalah Bidin Sentul tidak lagi menjejakkan kaki ke warung itu, malahan untuk lalu di luar warung itu juga dia tidak mahu. Mengenangkan perasaan malu dan marah kerana dikecewakan oleh Miah Bunga.

Satu hari datang seorang pemuda ke kampung itu dengan memperkenalkan dirinya sebagai Tajul Basri, tuan empunya estet getah di Kampung Rasak. Kedatangngannya ke kampung itu adalah dengan tujuan untuk mencari pembantu di banglo keluarganya. Pertama kali Tajul Basri melihat Miah Bunga, dia tertawan. Dari pandangan matanya beralih ke senyumannya benar-benar membuatkan hatinya terpikat. Tidak semena-mena Miah Bunga ditawarkan untuk berkerja di banglonya.

Semua yang ada di dalam warung itu terpana mendengarkan tawaran Tajul Basri, mereka berdoa agar Miah Bunga menolak seperti mana Miah Bunga menolak ajakkan Bidin Sentul ke pekan tidak lama dahulu. Miah Bunga cuma tersenyum, dia tahu inilah perubahan yang dicarinya selama ini. Perubahan baru bagi dia lari dari cemuhan dan godaan yang tidak diingininya. Tetapi dia juga perlu berfikir dahulu dan dia meminta agar diberikan tempoh kepadanya sehinga dua hari yang akan datang.

Mendengarkan tempoh dua hari yang diminta oleh Miah Bunga, masing-masing berusaha mencari jalan untuk menghalang Miah Bunga dari memilih jalan yang baru itu. Usaha itu lebih dilihat kepada Wak Karim yang saban kali memujuk Miah Bunga untuk menolak tawaran Tajul Basri. Perasaan ragu-ragu dan ingin tahu yang bercampur baur membuatkan Miah Bunga mengambil keputusan diluar jangkaannya iaitu dengan memilih untuk menerima tawaran Tajul Basri. Semuanya semata-mata untuk menjaga keamanan kampung itu dari terus menuduh dirinya sebagai janda penggoda.

Hari itu tiada lagi lelaki yang singgah ke warung itu, tiada lagi lelaki yang menjerit meminta kopi dan tiada lagi lelaki yang duduk hanya semata-mata untuk melihat janda yang pandai membancuh kopi.

Saturday, July 10, 2010

Kisah janda pembancuh kopi (cerpen) part 2


Walaubagaimanapun mereka lansung tidak mengenali Miah Bunga secara dalamnya, hatinya yang kecil itu mempunyai sifat yang lain dari wanita biasa. Biarpun dia menerima hadiah dari lelaki yang bernama Bidin sentul, namun belum tentu lagi dia akan menerima hati dari lelaki itu kerana dia sendiri tidak begitu bodoh. Walaupun baru mencecah 21 tahun dan sudah kematian suami, dia sudah senang untuk serasi dengan statusnya. Namun begitu adapun halnya dia juga tahu yang ada juga yang tidak senang dengan statusnya, dan orang-orang itu adalah para wanita di kampung itu.

Mana mungkin para wanita di kampung itu tidak cemburu dengan Miah Bunga, apatah lagi bila mereka mendapat tahu yang Miah Bunga itu seorang janda. Asalnya Miah Bunga bukanlah penduduk di kampung itu, tetapi setelah bernikah dengan Rahman iaitu seorang guru di kampung itu, terus dia mengambil keputusan untuk menetap di situ. Tetapi takdir Tuhan menentukan yang dia tidak mempunyai jodoh yang panjang dengan Rahman dan akhirnya dia menjadi janda setelah seminggu bernikah. Semakin kecohlah kisah itu tersebar yang Miah Bunga bercerai mati setelah seminggu bernikah.

Baik pemuda atau yang telah mempunyai isteri, masing-masing melirik senyum sampai ke telinga. Ini kerana mereka tahu yang mereka mempunyai peluang dengan janda muda itu. Ini kerana sewaktu pernikahan Miah Bunga dan Rahman dulu ramai yang mengcemburui mereka. Ada yang sampai sanggup menggunakan cara lama dengan meletakkan katak di bawah tempurung semata-mata tidak mahu Rahman lepas melafazkan akad. Tetapi cara itu semuanya tidak jalan, usaha yang sia-sia itu dapat dipatahkan oleh Rahman dengan hanya sekali lafaz sahaja. Terbuktilah Rahman pemuda yang baik, kuat agama dan pintar orangnya. Jadi mereka akur akan ketentuan yang telah ditetapkan.

Namun demikian, panas tidaklah sampai ke petang kerana hujan turun di tengah hari. Rahman yang masih muda di dalam pernikahannya mati akibat kemalangan ketika hendak ke tempat kerja. Kini Miah Bunga sudah bergelar janda. Memandangkan Miah Bunga tidak ditinggalkan sebarang harta, dia mengambil keputusan untuk meneruskan hidupnya dengan mencari pekerjaan. Miah Bunga kuat orangnya, rasa kasih dan cinta yang dikecap bersama Rahman hanyalah sekejap Cuma, namun dia tetap bersyukur yang dia mempunyai suami yang baik, dan segala kenangan itu akan disimpan di dalam hatinya.
Kini dia bekerja di warung Wak Karim, bapa saudaranya yang juga menetap di kampung itu. Melalui Wak Karim dia mampu untuk berdikari sendiri walaupun ada mata yang tidak senang dengan dirinya.

“Bukankah lagi elok kalau dia menikah lagi dari dia terus bekerja di warung itu!” Mak Som salah seorang dari kaum ibu di kampung itu memberikan pendapat.
“Lagi lama dia kerja di warung itu jadi makin keraplah lelaki-lelaki di kampung ini kuat menyinggah ke warung itu” lancang saja suara Siah bersuara. Suara tidak puas hati itu yang dulunya tidak kerap di dengar kini semakin menjadi-jadi. Cemburu dan iri hati adalah satu-satunya perkara yang tertanam di dalam jiwa gadis itu. Malahan dia tahu bukan dirinya saja yang merasakan begitu malahan semua perempuan di dalam kampung itu juga merasakan perkara yang sama.

“Itulah kalau sudah dasar janda, tiada yang lain mesti mahukan laki orang” tempik Siah, sekaligus mencetuskan rasa kurang senang di hati para wanita di kampung itu.
Segala macam tuduhan sudah diterimanya semenjak dia bekerja di warung itu, melihat ada pelanggan yang dipiat telinga, malahan ditarik pulang juga sudah semakin menjadi-jadi. Ada juga timbul rasa serba salah bila melihatkan pelanggan Wak Karim semakin berkurangan semata-mata kerana dirinya. Tetapi apakan daya kerana kerja itu sajalah yang mampu dibuatnya dari dia memilih untuk melakukan perkara yang haram, simpang malaikat 44, bisik hatinya.

bersambung

Friday, July 9, 2010

Kisah janda pembancuh kopi (cerpen) part 1


Seteguk saja sudah bisa membuatkan tekak yang kering menjadi basah, bukan basah kerana air kopi panas yang masuk ke anak tekak itu, tetapi basah kerana rasa pahit pekat asli yang ada pada kopi pekat itu. Kopi ini bukanlah kopi biasa, kopi ini ialah kopi asli yang datangnya dari biji kopi yang sebenar, biji kopi yang diimport dari india. Aromanya pula menusuk hidung takkala air panas menggelegak masuk ke dalam kole, sekali tarik rasanya pasti menggila. Namun begitu cerita kopi ini bukanlah cerita yang ingin disampaikan, tetapi cerita si pembuat kopi ini lah yang menjadi tajuk utamanya, tajuk utama yang menyebabkan seluruh kampung bagai di guna-guna kata orang, di guna-guna agar datang ke warung itu hanya untuk merasa secawan kopi, secawan kopi buatan janda muda, Miah bunga.

Bukan orang kampung di situ tidak tahu yang kopi pekat itu ialah kopi biasa sahaja, walaupun tuan punya kedai, Wak Karim ada mengatakan yang kopinya itu datang dari india, namun tiada siapa yang percaya mahupun peduli kerana mereka tidak mahu tahu mahupun menyelidik dari mana asalnya kopi itu. Ini kerana ia tidak termasuk di dalam perkara yang utama, iaitu Miah Bunga, janda berhias yang masih muda kerana kematian suaminya. Hampir setiap pagi, sebaik saja warung dibuka hampir setengah dari isi penduduk di kampung itu akan datang singgah ke warung itu dan yang terutamanya ialah orang lelaki ( seperti di rumah lansung tidak ada berair kopi) .

Apapun antara manusia yang paling kerap datang ke warung itu ialah Bidin Sentul, tuan punya estet getah pangkalan galang di hujung kampung. Semua orang tahu yang Bidin Sentul sudah beristeri, malahan isterinya bukanlah satu tetapi dua. Anak pula janganlah dikira, bukan seorang dua tetapi sudah masuk yang kelima. Seingat mereka, isteri yang kedua itu kini sedang bunting anak keenam, jadi apa lagi yang Bidin Sentul ingin cari, isteri, anak malahan duit semuanya sudah lengkap. Tetapi mereka tahu semua itu lansung tidak dapat memuaskan hati Bidin Sentul, al-maklumlah orang kaya, sekadar dua memang tidak dapat memuaskan nafsu hatinya, inikan pula bila duit di poket setebal senaskah dewan.

Masam saja muka anak muda yang meneguk kopi bahkan yang separuh usianya juga bila melihat Bidin Sentul menghulur bungkusan coklat kepada Miah Bunga dari tepi pintu dapur. Tersengih-sengih Bidin Sentul bila Miah Bunga menyambut huluran bungkusan itu tanpa berkata apa, baginya ketika itu dialah yang paling hebat takkala Miah Bunga mengucapkan terima kasih setelah melihat isi bungkusan itu dengan senyuman yang kecil. Kain ela baju kebaya berwarna hijau pucuk pisang dimasukkan semula ke dalam beg plastik yang tergantung di tepi pintu, Bidin sentul dijemput duduk dengan senyuman yang paling manis.

Panas saja hati pemuda-pemuda itu bila Miah Bunga melemparkan senyuman kepada Bidin Sentul, bagi mereka Bidin Sentul memang saja mahu masuk jarum dengan mengumpan barang yang mahal-mahal. Walaupun Miah Bunga kelihatan polos, namun setiap gadis atau wanita tetap ada naluri yang menginginkan sesuatu dan hasilnya, Bidin Sentul bisa memberikan segala-galanya. Memang dasar buaya darat, cemuh pemuda-pemuda itu di dalam hati.

bersambung

Wednesday, July 7, 2010

surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) akhir


Saudari Zulaikha

Assalamualaikum,

Maaflah jika kelewatan suratku ini telah melukakan perasaanmu. Tetapi aku juga bersyukur yang kau telah sembuh dari sakitmu. Mungkin ini adalah kesalahanku kerana tidak membalas surat-suratmu. Tetapi percayalah itu bukan niatku kerana aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan isi suratku. Berminggu-minggu lamanya aku memikirkan kata-kata yang terbaik untuk dirimu kerana aku tidak mahu mengecewakan hati dan perasaanmu seperti mana yang berlaku semasa kau berada di sini dahulu.

Aku hanyalah seorang pemuda biasa, pemuda yang tidak layak untuk dirindui oleh seorang gadis yang sempurna seperti dirimu. Bukan status yang menjadi penyebabnya tetapi perasaanku ini belum lagi cuba untuk menafsirkan kata-kata rindu darimu. Kata Razif, aku terlalu malu. Iya itu juga mungkin benar. Malu adalah sifatku yang tidak dapat kukikis. Tetapi tunjang kepada persoalan ini adalah aku cuba untuk merindui dirimu seperti mana kau merindui diriku. Namun cinta dan rindu adalah perkataan yang besar buat diriku. Ya Allah, sungguh besar perasaan yang kau berikan kepadaku sehinggakan aku sendiri tidak mampu untuk memikulnya.

Wahai Zulaikha, aku cuma berharap agar kau terus bersabar dan aku jua berterima kasih kepada dirimu kerana sentiasa merindui diriku. Tetapi fahamlah yang cinta dan kasih itu akan datang dengan sendiri jika kita terus berdoa untuk meminta petunjuk dariNya. Semoga cinta dan rindu yang kau hulurkan dapat kuterima dengan hati yang terbuka kerana Allah itu maha pengasih lagi penyayang. Jika kita mempunyai jodoh maka kita akan bersatu, maka serahkanlah semua itu kepadaNya wahai Zulaikha. Kepada Tuhan yang satu, Allah swt.

Yusuf

Tuesday, July 6, 2010

surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) part 4



Saudara Yusuf,

Aku malu ingin menyatakannya kerana apa yang terjadi memang di luar batasanku sendiri.

Wahai Yusuf, bila semalam kau cuba untuk bertemu denganku, aku berasa sangat marah sekali. Ini kerana hatiku sudah tertutup buatmu bila memikirkan kata-kata yang kau lafazkan kepada Maisarah tempoh hari. Tetapi apakan daya, jiwa ragaku sememangnya tidak dapat melarang dari aku terus memikirkan dirimu. Saban malam mimpiku hanyalah gambaran wajahmu. Adakah aku telah hanyut di dalam mimpiku sendiri dan adakah hanya aku saja yang memimpikan dirimu.

Kata Maisarah, jika dia memperolehi dirimu sebagai temannya, pasti dia tidak akan mencari yang lain. Berdesing telingaku apabila mendengar kata-kata yang terluah dari mulut Maisarah itu. Seperti Maisarah sengaja mencari marahku dan terus menerus membicarakan tentang dirimu sebagai topik perbualan kami. Aku tahu yang aku tidak layak untuk memarahi Maisarah kerana Maisarah mempunyai hak untuk menyatakan tentang pendapatnya mengenai dirimu. Namun akhirnya perbualan kami membawa kepada noktah yang ku tunggu-tunggu iaitu tentang perasaan yang ada di dalam hatiku, perasaanku terhadap dirimu.

Iya, Maisarah dapat menghidu akan perasaanku. Katanya hatiku terlalu keras, keras seperti batu, dan cuma Yusuf seorang saja yang bisa melembutkan hatiku. Aku malu, ini kerana aku sendiri tidak pasti dengan perasaanku. Adakah aku mencintai dirimu wahai Yusuf. Kalau benar aku mencintai dirimu, jadi adakah kemarahanku tempoh hari adalah sengaja kulakukan agar kau menemuiku pada malam semalam. Iya, mungkin benar, aku merajuk dan marah hanya semata-mata untuk menemui dirimu. Jika bukan kerana kata-katamu itu, pasti sehingga kini aku tidak akan bertemu denganmu secara bertentang mata.

Wahai Yusuf, walau sekali kau menyatakan maaf buat diriku, seribu kali aku telah memaafkan dirimu. Tidak tega aku untuk terus membencimu. Aku cuma marah, marah yang sedikit, marah kerana cemburu akan sifat ambil beratmu terhadap teman-temanku. Kerana pada fikiranku senyummu, tubuhmu bahkan hati dan sifat ambil beratmu hanyalah untukku, Zulaikha gadis yang sentiasa menanti balasan senyummu.

Zulaikha

surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) part 3


Saudara Yusuf,

Sudah hampir sebulan aku di sini, namun pertemuan kita hanya sekali cuma. Kalau bukan kerana Maisara yang terjatuh di dalam hutan dan diselamatkan olehmu, sudah pasti sampai ke hari ini aku mungkin tidak dapat bertemu denganmu.
Tetapi bukan hal itu yang menjadi persoalanku kini tetapi kata-kata yang kau sampaikan kepada Maisara ketika kamu berada di dalam hutan yang menjadi api di dalam hatiku. Sampai hati kau wahai Yusuf, bila mana kau mengatakan yang aku ini tidak mungkin sudi untuk berkawan denganmu hanya kerana status kita yang berbeza, dari sebab itu aku ini tidak sudi untuk menjejakkan kaki ke teratak burukmu.

Sedarkah kau wahai Yusuf bahawa aku ini adalah gadis. Walaupun aku lahir di kota tetapi aku masih lagi kenal akan adat dan susilaku sebagai seorang perempuan. Mana mungkin aku akan menjejakkan kaki ke rumahmu jika tidak mempunyai sebab musabab. Aku malu akan sikapmu yang meletakkan aku melalui pandanganmu tetapi tidak hatimu.
Kau kejam Yusuf, walaupun kau tidak sudi untuk bersahabat denganku janganlah sampai kau meletakkan tohmahan yang sebegitu keras ke atas diriku. Aku sedar yang aku ini tidak layak untuk bersahabat denganmu dan sampai bila pun kita pasti tidak akan dipertemu.

Kerana itu aku mulai berfikir akan apa yang dikatakan oleh temanmu Razif, yang kita sememangnya sudah ditakdirkan untuk bersama. Ini kerana sudah tertulis bahawa cinta Zulaikha hanya untuk Yusuf. Tetapi sejauh manakah kebenarannya kata-kata itu kerana perasaanku kuat mengatakan yang kau bukan untukku malahan kau sendiri semakin jauh dariku.

Zulaikha

surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) part 2



Saudara Yusuf,

Tidak sangka apa yang aku fikirkan selama ini adalah benar belaka. Kau sememangnya pemuda yang sombong bahkan mementingkan diri. Walaupun kau datang dari keluarga yang miskin, namun kesombonganmu benar-benar menjelakkan akal dan pemikiranku. Apakah terlalu berat untukmu membalas suratku yang terdahulu atau kau sememangnya tidak mahu.

Iya sesungguhnya kita memang tidak pernah berkenalan dan aku boleh dianggap seperti perigi mencari timba. Tapi fahamlah kau wahai Yusuf bahawa sesungguhnya aku hanya mahu bersahabat denganmu. Tidak terlintas difikiranku untuk memikirkan yang lebih dari itu. Masih ingatkan kau pada malam majlis keramaian saudara angkat, ketika Razif, teman baikmu memperkenalkan aku pada dirimu. Kau lansung tidak menghulurkan salammu, menurutmu kita bukan muhrim, iya itu benar dan aku memahami maksudmu itu. Tetapi berbeza pula dengan cerita teman baikku yang baru kudengar semalam. Kau menjemput mereka ke teratakmu sedangkan kau tahu aku juga salah seorang daripada mereka. Adakah terlalu berat untukmu mengatakan yang kau juga mahu menjemput diriku atau kau sememangnya tidak sudi untuk menjemput diriku. Dan lupakah kau yang kau sendiri bukan muhrim bagi mereka. Jadi mengapa mereka dijemput ke teratakmu. Aku semakin keliru.

Tetapi aku mulai sedar apabila menurut mereka kau diibaratkan seperti langit bagi mereka. Jauh tinggi melayang walaupun statusmu tidaklah semewah kami. Menurut mereka juga kau bukan saja tampan, tetapi kau juga punyai ilmu yang tinggi dalam hal duniawi mahupun akhirat. Suaramu germersik buluh perindu ketika membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Wah, aku tidak menyangka yang dirimu sehebat itu, dari cerita itu saja aku mula merasakan yang pandanganku itu mungkin silap belaka. Tetapi mampukan hatiku ini menerima segala yang diceritakan oleh teman-temanku sedangkan aku sendiri tidak pernah menyaksikannya.
Wahai Yusuf, jika benar kau pemuda yang seperti diperkatakan. Mahukah kau bersahabat denganku dan bisakah kau mengajarku tentang ilmu yang kau miliki. Aku pasti kau bukan kedekut orangnya memandangkan kau sendiri mengajar anak-anak di kampung ini bagi mengenal agama dan kitab suciNya. Mahukah kau wahai Yusuf.

Zulaikha

surat zulaikha kepada yusuf (cerpen) part 1



Saudara Yusuf,

Masih ingatkah kau kepada diriku. Gadis bandar yang datang ke kampungmu sekitar sebulan yang lalu. Mungkin kau sudah lupa memandangkan dirimu sendiri tidak pernah melihat akan diriku. Ini mungkin kerana kita sama sekali berbeza, berbeza dari segi dunia yang bukan pilihan kita. Masih ku ingat lagi ketika mula-mula aku menjejakkan kaki ke kampungmu, kampung Dusun Terendak. Semuanya nampak cela dimataku, semuanya nampak lecah di fikiranku. Mungkin kerana aku tidak biasa dengan keadaan itu tetapi percayalah itu semua adalah perasaanku yang sebentar cuma, perasaan yang lahir atas sikap dan latar belakangku yang berbeza. Aku sedar yang aku adalah anak orang kaya yang tinggi darjatnya, tetapi pernahkah kau fikir yang darjat itu kepunyaan ayahku, bukan diriku. Jadi adakah mungkin juga kerana hal ini kau tidak mahu mendekatiku mahupun menghulurkan salam perkenalan buatku.

Aku lihat di malam pesta muda mudi waktu itu, kau hadir dalam keadaan yang amat sempurna sekali. Sehinggakan mataku sendiri tidak mahu mempercayai bahawa masih ada lagi pemuda yang setampan kau wujud di kampung itu. Semua mata tertumpu ke arahmu, sehinggakan aku sendiri tidak bisa melarikan anak mataku jauh dari air wajahmu. Wajahmu yang cerah umpama bulan benar-benar telah mengetuk pintu hatiku agar aku terus memerhatikanmu. Tetapi sayangnya matamu yang bundar itu lansung tidak toleh untuk melihat keperawannanku, sehingga aku merasakan yang diriku bukanlah yang tercantik di malam itu. Apakah kau sombong, itulah tanggapanku takkala matamu berkalih bila aku sempat melemparkan senyumku.

Iya mungkin kau benar sombong, seperti telahan rakan-rakanku, kau tampan, jadi mana mungkin kau mahu memandang gadis-gadis seperti kami. Aku bukanlah mahu mencari fitnah di mana aku sendiri tidak tahu akan peribadimu, mungkin kerana hatiku geram kerana senyumku ditolak, jadi aku meletakkan kau Yusuf sebagai pemuda yang sombong.
Tetapi jika salah anggappanku ini, maka aku mahu kepastian darimu sementara aku masih ada di kampungmu ini. Adakah kau pemuda yang begitu, tampan tetapi sombong atas paras rupa yang dianugerahkan Tuhan yang sebentar cuma.

Zulaikha